Arah Tuju Selepas SPM

Tahniah kepada adik-adik yang mendapat keputusan yang cemerlang! Bagi yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Tingkatkan usaha anda kerana Big Bro tahu adik-adik semua pasti akan berjaya pada masa akan datang.

Adik-adik pasti keliru apakah pilihan laluan yang perlu diambil selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?. Bak kata pepatah:

“Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina.”

Mari Big Bro kongsikan serba sedikit maklumat tentang pilihan arah tuju selepas SPM yang adik-adik boleh ceburi.

1. Diploma

Diploma merupakan peringkat separa profesional sebelum adik-adik melanjutkan ke peringkat ijazah sarjana muda. Jadi, adik-adik boleh pilih sama ada ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda ataupun bekerja terus. Ini kerana, terdapat juga syarikat-syarikat sekarang memerlukan pekerja yang sekurang-kurangnya mempunyai diploma.

Bagi kolej atau universiti awam, pelajar akan dibiayai sebahagian atau sepenuhnya oleh kerajaan bergantung pada keputusan ujian adik-adik. Bagi swasta, pembiayaan akan dibiayai sepenuhnya oleh adik-adik sendiri. Tapi, jangan risau sebab banyak kemudahan pinjaman pendidikan yang disediakan pada masa kini. Contohnya, MARA, PTPTN, KWSP dan banyak lagi!

Adik-adik boleh melanjutkan pelajaran dari diploma ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti-universiti terpilih.

 

2. Kursus Matrikulasi

Kursus matrikulasi amat sesuai untuk adik-adik yang masih belum pasti kursus apa yang mahu dipilih. Ini kerana sukatan pelajaran dalam program ini lebih terbuka dan adik-adik akan terus memasuki universiti terpilih mengikut kursus pilihan dan keputusan akhir matrikulasi.

Secara asasnya, kursus yang ditawarkan merangkumi sains tulen, kejuruteraan dan perakaunan. Tempoh pengajian lebih singkat berbanding diploma iaitu satu atau dua tahun sahaja.

 

3. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

Adik-adik yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM mempunyai peluang yang besar untuk mendaftar diri ke Tingkatan 6. Adik-adik yang mengambil STPM dapat memohon terus ke Universiti untuk program ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil diploma. Selain daripada itu, STPM diiktiraf bagi kemasukan kebanyakan universiti di seluruh dunia.

 

4. Technical Vocational, Education & Training (TVET)

Bagi adik-adik yang lebih berminat dalam bidang teknikal dan vokasional, kalian boleh menyertai program ini. Program ini direka khas untuk melatih adik-adik yang mahir dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal. Secara tak langsung, adik-adik akan menjadi pembekal tenaga kerja mahir negara pada masa akan datang nanti.

 

Big Bro harap adik-adik berhati-hati dalam membuat keputusan. Kaji selidik terlebih dahulu program-program yang ditawarkan di universiti dan kolej tersebut, syarat-syarat yang perlu dipatuhi dan lain-lain kerana setiap program yang ditawarkan adalah mengikut kesesuaian individu masing-masing. Jadi, pilihlah kursus yang bersesuaian dengan apa yang adik minat.

Akhir sekali, adik-adik haruslah mempunyai matlamat jangka panjang yang jelas sebelum membuat keputusan. Adik-adik ingat pesan Big Bro tau. Selamat maju jaya!