Hai, adik-adik! Musim persekolahan telah pun bermula seperti biasa. Jadi, adik-adik perlulah fokus semula pada pembelajaran! Bagi adik-adik yang sedang menghadapi peperiksaan, Big Bro ucapkan semoga berjaya dan rehat secukupnya demi kesihatan dan kecergasan semua.

BERITA BAIK !

Bagi adik-adik yang berada di Melaka, Big Bro akan berada di sana sempena Karnival Pendidikan Negeri Melaka 2018. Bagi adik-adik yang ingin menyertai karnival ini, adik-adik boleh lihat butiran dibawah:

 

Program

:

Karnival Pendidikan Negeri Melaka 2018

Tarikh

:

30 Mac 2018 (Jumaat) - 1 April 2018 (Ahad)

Masa

:

7.00 pagi - 10.00 malam

Tempat

:

MITC, Ayer Keroh, Melaka

 

Selain daripada bercerita dan menulis blog, Big Bro suka makan angin bersama keluarga di tempat-tempat menarik di negara kita. Jadi, Big Bro nak kongsikan beberapa tempat menarik yang Big Bro gemari di Melaka yang kalian boleh kunjungi.



Pantai Klebang

Klebang merupakan tempat yang terkenal dan menjadi tarikan semua orang untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan sambil ber’selfie’ ‘wefie’. Aktiviti-aktiviti lain yang adik-adik boleh nikmati di sana ialah menunggang kuda, bermain layang-layang dan sebagainya.

Sumber: Tourism Malaysia 2016



Pasar Malam Jonker Walk

Big Bro suka singgah ke Jonker Walk kerana terdapat pelbagai aneka barang yang Big Bro boleh membeli belah pada waktu malam di sana. Jonker Walk bukan sahaja tempat membeli belah, tetapi ia juga merupakan satu lokasi bersejarah dan kebudayaan yang mempunyai bangunan-bangunan antik dan adik-adik boleh merasai suatu pandangan sepintas lalu seperti berada di zaman penaklukan Barat dahulu kala.

Sumber: gettyimages.com

 

Pantai Tanjung Bidara

Big Bro bukan sahaja suka ber’selfie’ ‘wefie’ sahaja tau! Big Bro juga suka bermandi-manda bersama keluarga di sungai, pantai dan sebagainya. Salah satu lokasi yang sesuai dengan hobi Big Bro adalah Pantai Tanjung Bidara. Pantai ini sangat sesuai untuk adik-adik yang ingin berkelah dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sumber: Portal Rasmi Majlis Perbandaran Alor Gajah



Taman Seribu Bunga

Ambil ‘peluang emas’ adik-adik apabila berkunjung di Melaka untuk bersiar-siar di Taman Seri Bunga yang terletak bersebelahan Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh. Taman ini juga mempunyai pemandangan cantik yang dipenuhi dengan pelbagai spesis bunga orkid, replika rumah tradisional Melaka, taman herba, perigi telapak tangan, jambatan istana dan pondok beduk.

Sumber: geoview.info



Air Terjun Asahan

Air terjun ini juga dikenali sebagai Air Terjun Gunung Ledang. Air terjun Asahan ini sangat sesuai untuk adik-adik beriadah dengan keluarga adik-adik. Bukan sahaja beriadah, adik-adik juga boleh menikmati aktiviti lain seperti berkhemah, meredah hutan, bermandi-manda, mendaki gunung yang setinggi 1276 meter dan kem motivasi.

Suasana di sana juga sangat tenang dengan kicauan burung-burung, udara yang segar dan jauh daripada ibu kota yang sibuk itu. Suasana ini amat digalakkan untuk adik-adik dan sekeluarga yang ingin meluangkan masa bersama dan tenangkan diri daripada tekanan kerja dan persekolahan.

Sumber: Harian Metro



Terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang adik-adik boleh kunjungi di Melaka. Jika kalian ingin mengetahui maklumat mengenai lokasi yang Big Bro kongsikan dengan lebih lanjut, adik-adik boleh terus melayari ke laman web rasmi lokasi-lokasi tersebut.

Jangan lupa kunjungi Karnival Pendidikan Negeri Melaka dan ber‘wefie’ bersama Big Bro pada esok dan sabtu ini. Adik-adik juga boleh melihat gambar-gambar Big Bro di Instagram, @mybankrakyat.